ALOR GAJAH – “Arwah adik sepatutnya berkahwin pada 18 Ogos ini namun tidak sangka Allah lebih menyayanginya,” kata Haslindah Tahir, 48, kakak mangsa kemalangan maut motosikal di Jalan Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, malam tadi.
Dalam nahas kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mohamad Zahir Tahir, 33, meninggal dunia di lokasi selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain yang hilang kawalan sebelum memasuki laluannya.
Haslindah berkata, adiknya ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga mereka di Kampung Baru, di sini dari rumahnya di Sepang, Selangor selepas membincangkan hal berkaitan pernikahannya 18 Ogos ini.
“Arwah minta pendapat saya kerana mahu bernikah dahulu dan hanya mengadakan majlis kenduri secara sederhana di pihak pengantin perempuan dan kami lima beradik langsung tidak membantah.
“Ini kerana kami faham arwah cuma kerja biasa sahaja tambahan pula dia sudah banyak berkorban menjaga ibu dan ayah yang sakit strok sejak beberapa tahun lalu sebelum mereka meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya ketika pertemuan malam tadi, Mohamad Zahir yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan satu-satunya lelaki dalam keluarga sempat menunaikan solat Isyak sebelum pulang.
“Malah, kami juga sempat bergurau senda mengenai cenderahati yang mahu diberikan kepada tetamu pada majlis pernikahannya nanti.
“Sebelum pulang, arwah sempat melontarkan kata-kata sayu sudah lama tidak ke rumah saya dan tidak sangka rupanya ia petanda adik akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa, pekerja pembersihan di Akademi Laut Malaysia (ALAM) meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kaki dan dada.
Menurutnya, nahas dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang pelatih ALAM, Md. Rokonuzzaman Khan, 38, dari arah Pekan Kuala Sungai Baru menuju ke Kuala Linggi hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal terbabit kemudian merempuh motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Mohamad Zahir menyebabkannya maut di lokasi manakala Md. Rokonuzzaman pula patah kedua-dua tangan dan kaki kiri,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















