(dari kiri) Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Presiden Indonesia Probowo Subianto, Setiausaha Tetap Hal Ehwal Luar Myanmar Aung Kyaw Moe dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao memegang salinan deklarasi sempena Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Dokumen penting dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur dimeteraikan secara rasmi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebagai komitmen baharu blok serantau perkukuh integrasi, menangani cabaran global dan membentuk masa depan lebih mampan, saksama dan berpaksikan rakyat.

Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita mengetengahkan langkah strategik dalam usaha memperkukuh masa depan serantau bagi dua dekad akan datang bagi menggantikan pelan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang dimeterai ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015.

Dekarasi Kuala Lumpur itu juha menjadi pelan hala tuju baharu ke arah membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berpaksikan rakyat.

Dokumen penting itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Loas, Sonexay Siphandone.

Turut menandatangani adalah Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Aung Kyaw Moe.

Deklarasi yang ditandatangani itu selepas itu diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, dokumen itu bukan sekadar penghormatan terhadap masa lampau  tetapi ikrar hidup terhadap masa depan yang menuntut tindakan kolektif dan tadbir urus bersama.

“Adalah sering dikatakan bahawa cara terbaik untuk meramal masa depan ialah dengan menciptanya. Itulah yang ASEAN usahakan selama beberapa dekad melalui usaha konsisten, visi strategik dan kepercayaan serantau.

“ASEAN kini berdepan cabaran ketidaktentuan persekitaran antarabangsa, ketegangan geopolitik, gangguan ekonomi, perubahan iklim dan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan serta ekonomi digital.

“Teknologi boleh menjadi pemangkin kemakmuran, tetapi juga membawa risiko termasuk meningkatkan ketidaksamarataan dan menggugat mata pencarian sekiranya tidak ditadbir dengan baik,” katanya.

Anwar turut menekankan integrasi serantau yang dirancang menerusi ASEAN 2045 perlu benar-benar berpaksikan rakyat termasuk usaha menutup jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan memanfaatkan potensi insan seluruh warga ASEAN.

“Dengan kejelasan visi, keteguhan tekad dan kesatuan hati, marilah kita bina ASEAN yang menjadi warisan paling berharga kepada generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast