KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mengumumkan penamatan kontrak duta rasmi kelab itu iaitu seorang pempengaruh yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’ berkuat kuasa serta-merta.
Kelab itu dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya berpendirian tegas untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang melanggar undang-undang.
“KDA FC telah mengambil maklum berkenaan isu salah seorang duta rasmi KDA FC.
“Pihak KDA FC tidak berkompromi dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dari segi undang-undang.
“Oleh yang demikian, pihak KDA FC dengan ini telah menamatkan kontrak CEO Batu serta-merta,” kata kenyataan tersebut.
Terdahulu, beberapa tangkap layar perbualan berunsur seksual yang didakwa melibatkan suspek dan individu lain tular di media sosial, termasuk menerusi pendedahan oleh pempengaruh terkenal, Caprice, di akaun Instagram miliknya.
Pempengaruh berusia 22 tahun itu telah menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas seorang wanita membuat laporan polis berhubung dakwaan anak perempuannya yang berusia 14 tahun menerima mesej dan gambar tidak senonoh sejak awal Mei lalu. – MalaysiaGazette















