KUALA LUMPUR – Kepimpinan berwawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mampu memperkukuh sinergi antara cabang eksekutif dan legislatif dalam menjayakan visi ASEAN.

Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46, Tan Sri Datuk Johari Abdul berkata, Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders’ Interface ke-14 lari ini menyaksikan sokongan padu terhadap kepimpinan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Ini sekali gus menegaskan peranan penting Parlimen dalam menjayakan pembangunan serantau yang inklusif dan mampan.

“Beliau (Anwar) telah menunjukkan kepimpinan yang progresif dan terbuka terhadap peranan Parlimen dalam pembangunan serantau yang bersifat menyeluruh dan inklusif,” katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili AIPA di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan disertai oleh Ketua-Ketua Negara ASEAN bersama wakil Parlimen negara anggota AIPA.

Dalam mesyuarat berkenaan, AIPA menyuarakan sokongan penuh terhadap tema Sidang Kemuncak kali ini iaitu Inklusiviti dan Kemampanan selain menunjukkan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan ASEAN menerusi kerjasama legislatif, diplomasi Parlimen dan mekanisme pemantauan dasar.

AIPA turut menekankan keperluan memperkasa peranan wanita dan golongan muda melalui platform seperti Mesyuarat Penyelaras Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) dan Mesyuarat Konsultatif Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA), bagi memastikan penyertaan seimbang dalam pembangunan dasar dan masa depan rantau ini.

Selain itu, AIPA menyeru kerjasama legislatif dipertingkatkan dalam aspek digitalisasi, pembangunan teknologi lestari serta pelaburan hijau sejajar dengan rangka kerja ASEAN Digital Integration Framework.

Ia juga menzahirkan keprihatinan terhadap isu-isu keselamatan bukan tradisional seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan ketahanan tenaga.

Seiring dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific, AIPA turut menegaskan komitmen terhadap keamanan dan kedaulatan undang-undang, serta menyeru diplomasi berterusan dalam menangani isu Myanmar, Laut China Selatan, Gaza dan Ukraine.

Mesyuarat itu diakhiri dengan gesaan bersama agar kerajaan dan Parlimen negara anggota ASEAN bergerak seiring dalam membina ASEAN yang lebih adil, aman dan berdaya tahan, di mana suara rakyat diwakili sepenuhnya dalam proses pembentukan dasar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast