TAHUN 2025 merupakan detik penting bagi Malaysia apabila negara ini memegang tampuk Kepengerusian ASEAN.
Sempena peranan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjadi tuan rumah bagi penganjuran 21st Principals Meeting of the ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
Mesyuarat berprestij ini bakal menghimpunkan Ketua-Ketua Agensi Penguat Kuasa Antirasuah dari negara-negara anggota ASEAN serta delegasi dari beberapa pertubuhan antarabangsa bagi membincangkan kerjasama strategik dalam pencegahan rasuah serantau. Antara agenda utama ialah pembentangan dan perbincangan ASEAN-PAC Action Plan 2026–2029 yang merupakan kesinambungan kepada pelan tindakan sebelumnya bagi tempoh 2023–2025.
Pelan ini penting sebagai garis panduan jangka panjang untuk memperkukuh kerjasama dan hala tuju ASEAN-PAC dalam usaha memerangi jenayah rasuah, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Beberapa program sampingan seperti sesi dialog akan turut diadakan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan kapasiti pegawai-pegawai penguat kuasa antirasuah dari seluruh ASEAN.
Secara umum, beberapa faktor utama menyumbang kepada masalah rasuah dalam kalangan negara-negara ASEAN termasuklah;
Ketidakstabilan Politik – Perebutan kuasa, pemusatan kuasa, dan ketegangan sosial telah menjejaskan tadbir urus serta melemahkan penguatkuasaan undang-undang di sesetengah negara, seterusnya membuka ruang kepada penyelewengan kuasa.
Kelemahan Ekonomi – Kemiskinan, ketidaksamarataan pendapatan dan jurang ekonomi mendorong individu berpendapatan rendah untuk mencari jalan pintas melalui rasuah, manakala golongan berkuasa pula menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.
Budaya Sosial – Di sesetengah negara, rasuah telah menjadi sebahagian daripada norma sosial dan dianggap sebagai “pelincir” untuk mempercepatkan urusan – suatu halangan besar dalam usaha untuk mengubah pemikiran masyarakat;
Kurangnya Pendidikan Antirasuah – Tahap kesedaran awam yang rendah serta kekurangan pendidikan berkaitan integriti menjadikan usaha membanteras rasuah lebih mencabar.
Melihat kepada faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya masalah rasuah ini telah mendorong kepada pembentukan kerjasama serantau bagi memerangi jenayah rasuah secara kolektif bagi melindungi kesejahteraan ekonomi di rantau ASEAN.
Kerjasama serantau dalam memerangi rasuah telah bermula sejak 2004 dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) oleh agensi antirasuah dari Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura.
Ketika itu, kumpulan ini dikenali sebagai Southeast Asia-Parties Against Corruption (SEA-PAC).
Menjelang 2013, kesemua 10 negara ASEAN telah menyertai inisiatif ini. Pada tahun 2017, SEA-PAC secara rasmi diiktiraf sebagai entiti pemegang taruh dalam ASEAN, dan seterusnya dinamakan semula sebagai ASEAN-PAC pada tahun 2020 untuk mencerminkan integrasi yang lebih erat.
MoU ASEAN-PAC telah diperbaharui pada 2022, memperkukuh komitmen semua negara anggota terhadap kerjasama serantau dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah melalui pembangunan kapasiti, pertukaran maklumat, serta operasi bersama.
ASEAN-PAC aktif menganjurkan pelbagai aktiviti, termasuk mesyuarat dua kali setahun di peringkat prinsipal (Ketua Agensi) dan pelaksana. Usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara agensi antirasuah tetapi juga membuka ruang kepada perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam membanteras rasuah rentas sempadan.
Tambahan pula, kerjasama ASEAN-PAC juga menyokong pematuhan terhadap Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) yang mengikat daripada segi perundangan.
Negara-negara ASEAN beriltizam memperkenalkan dasar serta perundangan yang lebih ketat, selaras dengan konvensyen ini, bagi membendung rasuah secara lebih berkesan.
Melalui pendekatan kolektif dan strategik yang digariskan oleh ASEAN-PAC, negara-negara ASEAN kini berada di landasan yang lebih kukuh untuk menangani cabaran rasuah secara menyeluruh. Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun 2025 bukan sahaja memperkukuh peranan negara dalam geopolitik serantau, tetapi turut menjadi pemangkin kepada agenda antirasuah serantau yang lebih teguh dan berkesan.

Timbalan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadiah Azis.
















