Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Wakil-Wakil Antara Parlimen pada Sesi Suamuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil-Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Thailand menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik yang berpanjangan di Myanmar boleh menjejaskan keselamatan serantau, terutama dari segi peningkatan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Dusit Manapan berkata, ketidakstabilan di negara jiran itu mewujudkan ruang bagi pelbagai kegiatan haram termasuk sindiket penipuan dalam talian, penyeludupan dadah dan senjata.

“Keadaan ini berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang di kawasan sempadan. Ia mencetuskan peluang untuk sindiket jenayah beroperasi hampir tanpa kawalan,” katanya kepada media ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.

Dusit menjelaskan bahawa Thailand telah mengambil beberapa langkah bagi mengekang kegiatan ini, termasuk mengehadkan bekalan seperti elektrik, bahan api dan internet ke kawasan-kawasan tertentu yang terlibat.

“Namun, langkah ini hanya memberi kesan separa. Sindiket ini terus menyesuaikan diri, contohnya dengan beralih kepada panel solar dan perkhidmatan satelit seperti Starlink.

“Pemantauan menggunakan dron juga berdepan cabaran apabila sindiket menggunakan teknologi balas yang canggih,” katanya lagi.

Krisis di Myanmar bermula sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, yang mencetuskan pertempuran antara pihak tentera dan kumpulan penentang, termasuk beberapa kumpulan etnik bersenjata.

Akibat konflik ini, banyak kawasan sempadan kini berada di luar kawalan kerajaan dan dimanipulasi untuk aktiviti jenayah.

Dusit menekankan keperluan untuk menangani akar umbi kegiatan ini memandangkan sindiket jenayah mendapat dana besar melalui operasi penipuan dan penyeludupan yang kemudian digunakan untuk memperoleh senjata dan mengekalkan pengaruh mereka.

“Selagi pusat-pusat penipuan ini terus wujud, kita bukan sahaja berdepan dengan jenayah siber, malah turut berhadapan dengan perdagangan dadah dan senjata api,” katanya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerugian akibat penipuan siber di Asia Timur dan Asia Tenggara dianggarkan mencecah USD37 bilion menunjukkan skala sebenar ancaman ini.

Myanmar juga dilaporkan telah mengatasi Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia, satu perkembangan yang memperlihatkan betapa kompleksnya krisis yang sedang melanda negara itu.

Sementara itu, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, menggesa agar kerjasama rentas negara dipertingkatkan, termasuk dari segi penyelarasan undang-undang dan perkongsian maklumat bagi membendung jenayah rentas sempadan yang semakin rumit. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast