Aswandi (tengah) bersama penduduk lain semasa pada sidang media di Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seramai 25 pemilik tanah di Ladang Bukit Gemerih, Tanjung Sedeli dekat sini mendakwa tanah mereka diceroboh lima buah syarikat dan dijadikan kebun durian, kelapa dan pisang.

Wakil penduduk, Aswandi Mohammad Salleh, 50, berkata, kawasan mereka diceroboh seluas 40.4 hektar itu merupakan tanah kurnia kerajaan negeri milik penduduk Kampung Padang, Kampung Telok, Kampung Perpat, Kampung Simpang dan Kampung Gembut.

Juruteknik sebuah syarikat minyak dan gas mendakwa, pencerobohan itu sudah bermula pada 2017 selepas penduduk mendapat hak milik tanah berkenaan seluas 1.6 hektar seorang.

“Pada mulanya, sebuah syarikat menawarkan usahasama kepada pemilik untuk mengusahakan tanah secara bersama-sama namun hanya 25 daripada 200 pemilik tanah itu bersetuju dengan tawaran tersebut.

“Syarikat induk berkenaan kemudian menyerahkan projek usahasama itu kepada lima syarikat lain untuk menjalankan usahasama berkenaan untuk dengan tanaman kelapa.

“Bagaimanapun apabila tanah tersebut diusahakan dengan pembahagian keuntungan 70 peratus untuk syarikat terbabit dan 30 peratus untuk pemilik, pemilik hanya mendapat bayaran untuk dua bulan.

“Bagi yang tidak bersetuju dengan usahasama itu, lima syarikat terbabit menceroboh tanah pemilik lain dengan mengusahakan tanaman durian, kelapa dan pisang,” katanya.

Aswandi berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar bersama-sama pemilik tanah lain di Kampung Belukar Durian, Tanjung Sedeli di sini hari ini.

Menurut Aswandi,, syarikat terbabit bukan sahaja mengusahakan tanaman tersebut tetapi juga membuat longkang dan jalan  tanpa kebenaran tuan tanah.

“Tanah itu sudah jadi seperti milik mereka sedangkan kami mempunyai geran secara sah dan dokumen lain. Tanaman yang kami usahakan pula dimusnahkan dan ini mengakibatkan pemilik kerugian hingga puluhan ribu ringgit.

“Ada yang mendapat perintah injuksi mahkamah supaya tidak dapat masuk ke tanah mereka sendiri selain dipenjarakan empat hari kononnya kerana ‘menceroboh’ dan saya pula disaman,” katanya.

Menurutnya, pemilik terbabit sudah beberapa kali membuat laporan polis selain mengajukan masalah tersebut kepada Pejabat Menteri Besar Johor, pejabat tanah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun tiada tindakan lanjut.

Tambahnya, wakil pemilik tanah juga sudah mengadu masalah itu kepada wakil kepada wakil rakyat dan sebuah parti politik tetapi juga tiada tindakan sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu sesi dialog diadakan antara pemilik tanah dan lima syarikat berkenaan untuk mencari penyelesaian termasuk kehadiran wakil daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan agensi kerajaan terbabit.

“Kami beri tempoh dua bulan dan jika tiada dialog, kami merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Johor. Kami juga mohon peguam yang boleh membantu kami.

“Ini kerana pemilik adalah pekebun kecil dan nelayan. Syarikat-syarikat terbabit menggunakan mahkamah dan peguam untuk menakut-nakutkan kami sedangkan mereka bukan pemilik sah dan tidak mempunyai geran,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima 15 laporan polis berkenaan kes tersebut.

Menurutnya, siasatan  dijalankan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast