KUALA LUMPR – Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) telah meningkat kepada RM2.59 bilion pada suku pertama berakhir pada 31 Mac 2025 (S1 TK2025) berbanding RM2.49 bilion setahun lalu, dipacu oleh perbankan korporat dan segmen pasaran global kumpulan itu.
Peningkatan ini dipacu oleh pertumbuhan 1.8% dalam pendapatan operasi bersih kepada RM7.71 bilion.
Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat sebanyak 4.4% kepada RM3.59 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Dalam kenyataannya, Maybank berkata, ia mengekalkan margin faedah bersih yang stabil pada 2.04%, disokong oleh peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat 2.3% kepada RM4.95 bilion.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman tahunan yang disesuaikan adalah lebih rendah pada 2.2%, mencerminkan persekitaran operasi semasa yang terus terkesan dengan sentimen perniagaan yang berhati-hati dan permintaan kredit yang sederhana.
Pendapatan bukan faedah (NOII) yang menyumbang 35.8% daripada jumlah pendapatan berada pada RM2.76 bilion, disokong oleh prestasi pengurusan kekayaan yang bertambah baik.
Kos overhed meningkat pada kadar yang lebih perlahan di waktu tekanan inflasi kepada jumlah RM3.74 bilion berbanding RM3.66 bilion, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan kakitangan, kos pemasaran dan perbelanjaan penyelenggaraan perisian.
Keuntungan operasi praperuntukan berada pada jumlah RM3.97 bilion, yang meningkat 1.3% berbanding suku yang sama tahun lalu.
Manakala pulangan atas ekuiti tahunan pula meningkat kepada 11.3%, yang bertambah baik daripada 11.1% pada TK24.
Peruntukan rosot nilai bersih meningkat sebanyak 21.7% kepada RM426.4 juta disebabkan oleh penurunan peruntukan pinjaman sebanyak 17.9% kepada RM0.38 bilion.
Oleh itu, kadar caj kredit bersih menurun kepada 23 mata asas daripada 28 mata asas pada suku sebelumnya.
Nisbah pinjaman terjejas kasar bertambah baik sebanyak 5 mata asas kepada 1.27% berbanding suku yang sama pada tahun 2024, manakala perlindungan
kerugian pinjaman kekal kukuh pada 122.9%.
Secara keseluruhan, kualiti aset Kumpulan Maybank kekal sihat disokong oleh amalan pengunderaitan yang kukuh, strategi pemulihan yang berkesan dan portfolio yang pelbagai di pasaran serantau utama.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Maybank kekal mencatatkan pertumbuhan pendapatan memuaskan bagi suku pertama dengan dorongan margin faedah bersih yang stabil dan kualiti aset yang lebih baik serta pengurusan kos yang berdisiplin, walaupun menghadapi masalah makroekonomi global yang berterusan.
“Maybank kekal berdaya tahan dengan sokongan strategi perniagaan yang tertumpu dan pelaksanaan yang berdisiplin dalam usaha untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah,” katanya.
Setakat suku pertama 2025, Maybank terus mencapai kemajuan kukuh dalam komitmen kemampanannya dengan melepasi sasaran interim utama merentasi semua bidang tumpuan.
Ia mencapai pembiayaan mampan sebanyak RM10.29 billion dalam kewangan kumulatif untuk tempoh S1 TK25 menyumbang kepada
jumlah kumulatif sebanyak RM125.46 bilion, melepasi sasaran RM80 bilion yang ditetapkan menjelang tahun 2025.
Setakat 31 Mac 2025, pembiayaan Islam merangkumi 70.7% daripada jumlah pinjaman dan pembiayaan Maybank Malaysia dan Maybank Islamic kekal menerajui bahagian pasaran aset Islam di Malaysia pada 30.7%.
Aset di bawah pengurusan untuk pengurusan kekayaan Islam Kumpulan meningkat sebanyak 16.5% T-ke-T kepada RM 95.22 bilion
pada S1 TK25.
Etiqa Insurans & Takaful mencatatkan pendapatan pengunderaitan sebanyak RM354.31 juta, yang meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya didorong oleh pelepasan lebihan luar jangka untuk portfolio Takaful Keluarga dan pengalaman tuntutan yang lebih baik untuk portfolio Am/Takaful Am.
Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai menurun kepada RM265.4 juta bagi suku pertama TK25 berbanding RM364.90 juta pada tahun sebelumnya disebabkan terutamanya oleh kerugian pasaran dalam pelaburan ekuiti yang selaras dengan trend pasaran saham tempatan. – MalaysiaGazette
















