Rahmad Mariman

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka menarik semula sijil halal dua buah hotel terkemuka bertaraf lima bintang di Banda Hilir, di sini, awal bulan ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tegas itu diambil selepas serbuan mendapati penganjuran ‘parti alkohol’ menggunakan peralatan sama dengan dapur yang mendapat pensijilan halal.

“Semasa pemeriksaan dibuat hasil aduan awam, kita (Jabatan Agama Islam Melaka) mendapati memang ada parti sedang berlangsung dan bekas arak ini dicampur penggunaannya dengan peralatan dapur yang telah dipersijilkan halal.

“Kesalahan itu juga telah diakui pihak hotel dan kita mengambil tindakan tegas menarik semula serta merta sijil halal yang telah dikeluarkan kira-kira lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, penarikan sijil halal dibuat selepas terdapat ketidakakuran serius (aspek syariah) iaitu di bawah klausa 32(3)(a)(ii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 (MPPHM 2020).

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kedua-dua hotel terkemuka itu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat permohonan semula sijil halal.

“Sekiranya berpuas hati, kita akan kembalikan sijil halal dengan syarat mereka menepati semua syarat ditetapkan
dan tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

“Bagaimanapun setakat hari ini, mereka belum membuat permohonan semula dan JAIM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kesalahan serupa dilakukan 30 lagi hotel lain yang mempunyai sijil halal,” tegasnya.

Tambahnya lagi, ketegasan kerajaan negeri itu diharap dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis di Melaka yang mendapat persijilan halal.

“Sebab itulah di peringkat kerajaan negeri, kita tidak akan menganjurkn apa-apa program di hotel yang tiada persijilan halal sehinggalah mereka perolehi semula sijil itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast