KUANTAN – Seorang pembantu kedai pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didakwa memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh, Hiew Che Yong, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, Hiew didakwa secara rasuah memberikan wang tunai berjumlah RM1,500 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 3.10 petang, 6 Mei 2024 di hadapan Lokap Berpusat Indera Mahkota, di sini.
Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan supaya melepaskan dua individu yang ketika itu berada dalam tahanan polis berhubung siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.
Bagaimanapun, Peguam tertuduh, Muhamad Saifudin Ab Rahman merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan bulanan RM1,435 serta menanggung seorang isteri, dua anak dan ibu yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bercagar berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















