KUALA LUMPUR – Pengamal media diminta berperanan sebagai ‘pemerhati’ yang mampu mengawasi tingkah laku penyampai perkhidmatan warga polis, termasuk mencadangkan penambaikan tadbir urus pasukan agar sentiasa berintegriti dalam semua aspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, platform media mempunyai ‘kuasa unik’ yang mampu melangkaui batas fizikal, mempengaruhi pemikiran dan memenangi hati masyarakat untuk menzahirkan sokongan memperkukuh keselamatan dan keamanan negara.
“Media massa merupakan antara sandaran dan harapan PDRM bukan sekadar bertindak sebagai penyampai berita dan informasi, sebaliknya menjadi sumber untuk menzahirkan kebenaran dan keadilan kepada umum.
“Kepercayaan dan harapan tinggi disandarkan kepada pihak media selaku rakan strategik PDRM, untuk meningkatkan penyaluran, penyampaian dan menyebarluas informasi yang tepat dan dipercayai berbanding spekulasi dalaman mahupun atas kepentingan individu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi KPN Bersama Media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Hadir sama pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali; pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK); Datuk Muhammed Hasbullah Ali dan Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Tambah beliau, hubungan kerjasama yang utuh antara PDRM dengan rakan media adalah berteraskan tanggungjawab kepada masyarakat, dengan menyalur dan menyampaikan informasi tepat serta berita yang telus demi menegakkan keadilan dalam apa jua keadaan.
“Visi PDRM sebagai peneraju keselamatan bagi mengekalkan Malaysia selamat dan aman meletakkan media sebagai antara entiti penting bagi menyampaikan peranan pasukan.
“Ini dapat membantu dalam memartabatkan keluhuran perlembagaan serta mendaulat dan menguatkuasakan undang- undang kepada segenap lapisan masyarakat.
“Keistimewaan ini wajar ditransformasikan sebagai wadah pemantapan jati diri masyarakat bagi mengekang pengaruh anasir negatif yang boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat,” jelanya.
Razarudin mewakili barisan kepimpinan tertinggi dan seluruh warga PDRM amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan dan kerjasama pihak media menerusi keberkesanan peranan yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi.
Terdahulu, seramai 30 pengamal media termasuk wartawan MalaysiaGazette, Nurayuni Johari turut menerima sijil penghargaan KPN bersama plak bagi menghargai sumbangan dalam membantu melaporkan kejayaan-kejayaan PDRM. – MalaysiaGazette
















