KUALA LUMPUR – Selisih faham menjadi punca seorang pengawal keselamatan maut ditetak rakannya dalam kejadian di Taman Intan Baiduri di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu sekitar pukul 9.23 malam.
“Sebaik tiba di lokasi tiga minit kemudian, polis mendapati mangsa berusia 44 tahun telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah pergi ke sebuah kuil sebelum minum bersama sekumpulan lelaki di hadapan rumah ibadat itu.
“Difahamkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum suspek beredar dan kembali semula untuk menetak mangsa,” katanya pada pemberita.
Tambah Ahmad Sukarno, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan kita sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu,“ jelasnya. – MalaysiaGazette
















