KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan kekecewaan terhadap pengumuman kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh kedua 2025 sekaligus menyifatkan langkah itu membebankan rakyat ketika kos sara hidup semakin menekan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, rakyat masih terkesan dengan kenaikan tarif elektrik dan air namun kerajaan dilihat seolah-olah tergesa-gesa mahu menarik satu-satunya bantuan yang masih meringankan beban mereka.
“Kerajaan nampaknya tidak sabar-sabar mahu mencabut satu lagi saki-baki bantuan yang tinggal untuk orang ramai bertahan. Lebih menjengkelkan, sehingga ke hari ini, kerajaan sendiri pun masih kabur siapa sebenarnya golongan T20 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Fadhli, rakyat selama ini memahami T20 berdasarkan pengkelasan pendapatan isi rumah yang digunakan dalam laporan rasmi kerajaan namun kini definisinya semakin kabur.
Beliau berkata, pelbagai jawapan menteri dalam Dewan Rakyat menimbulkan lebih banyak kekeliruan daripada penjelasan kepada rakyat.
“Ada yang mengatakan penilaian akan dibuat berdasarkan lokasi, ada yang kata berdasarkan perbelanjaan, ada pula yang mengisyaratkan penggunaan data e-dompet, MySejahtera, hingga maklumat langganan Netflix pun mungkin dijadikan kayu ukur!
“Akhirnya, siapa sebenarnya T20? Adakah satu keluarga empat orang di bandar yang gajinya RM11,000 tapi menyewa rumah pun dianggap T20?” soalnya.
Ahmad Fadhli juga mempersoalkan kewajaran keluarga yang berpendapatan RM11,000 di bandar tetapi menyewa rumah dikategorikan sebagai T20 sedangkan realitinya mereka turut bergelut dengan kos hidup tinggi.
Tanpa definisi yang jelas, katanya, pelaksanaan subsidi bersasar akan menjadi tidak adil dan tidak cekap.
Beliau tidak menolak reformasi ekonomi tetapi menentang sekiranya ia dilaksanakan secara tergesa-gesa dan membebankan rakyat.
“Kita bukan anti-reformasi. Tapi kita anti kepada reformasi semberono yang meletakkan rakyat sebagai mangsa uji kaji dasar ekonomi,” tegasnya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan agar menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95.
Katanya, kerajaan perlu menyelesaikan isu tarif, memperjelas definisi T20 dan membuktikan bahawa mekanisme subsidi bersasar benar-benar mencapai sasarannya.
“Kalau tidak, jangan salahkan rakyat kalau mereka anggap ini bukan lagi kerajaan yang peduli, tapi kerajaan yang perlahan-lahan mencabut nafas rakyat,” katanya lagi.
Awal hari ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini.
Jelasnya, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















