Dua pegawai Maritim Malaysia yang menamatkan Program ACE: Innovative AI and Data Solutions for Public Sector Professionals dengan cemerlang. – Foto: FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengharumkan nama negara apabila menamatkan Program ACE: Innovative AI and Data Solutions for Public Sector Professionals dengan cemerlang.

Program itu merupakan latihan berprestij di peringkat antarabangsa anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dengan Intelli Education Group (IEG) Campus dan HCL Technologies India.

Pegawai berkenaan iaitu Leftenan Komander Maritim Mohd Nor Saifuddin Jamaludin dan Leftenan Komander Maritim Muhamad Faizol Ahmad mengikuti program berintensif tinggi itu selama enam bulan bermula 24 November 2024 hingga 23 Mei lalu di Chennai, India.

Program itu bertujuan memperkasa kemahiran penjawat awam dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan analisis data, selaras dengan keperluan perkhidmatan awam masa hadapan.

Kemuncak program itu menyaksikan semua peserta dikehendaki membangunkan projek inovatif yang mampu menyumbang secara langsung kepada keperluan organisasi masing-masing.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Muhamad Faizol tampil dengan projek bertajuk FleetForce AI – Real-Time Workforce Optimization for MMEA, yang memfokuskan kepada pengoptimuman tenaga kerja armada secara masa nyata, sekali gus menjanjikan kecekapan operasi yang lebih tinggi di lapangan.

Sementara itu, tambahnya, Mohd Nor Saifuddin mengangkat pendekatan berasaskan data menerusi projek MDAi Fusion Center – AI-Enhanced Maritime Domain Awareness, yang memanfaatkan AI untuk memperkukuh keupayaan pemantauan serta pengurusan maklumat maritim secara holistik dan strategik.

Tambahnya, hasil daripada impak serta ketelitian projek yang dibangunkan, Mohd Nor Saifuddin telah dipilih menerima dua pengiktirafan tertinggi program iaitu Data Innovation Excellence Award bagi kategori Pengurusan Data Terbaik serta Anugerah Pencapaian Terbaik Program ACE.

Jelasnya, ia merupakan pengiktirafan berprestij yang hanya diberikan kepada peserta dengan pencapaian keseluruhan terbaik.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa penerapan teknologi AI di peringkat agensi bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu keperluan kritikal dalam mempertingkatkan keupayaan operasi maritim negara.

“Penggunaan data secara strategik bukan sahaja membantu dalam membuat keputusan masa nyata, malah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan negara,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, kejayaan tersebut diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga agensi untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat global. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast