Hussein Omar Khan

SEPANG – Polis menahan empat anggota kumpulan samun yang menggunakan taktik penyamaran sebagai anggota polis dalam lima siri kes jenayah dilakukan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Kesemua mereka berusia antara 33 hingga 38 tahun ditahan pada Sabtu lalu menerusi operasi khas bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati, kesemua suspek terbabit terlibat dalam beberapa kes samun di Dengkil, Bukit Puchong dan Bukit Raja, Klang serta Kajang.

Katanya, kumpulan sama juga terlibat dalam kes samun di Semenyih yang mana videonya tular di media sosial pada awal bulan ini.

“Dalam kejadian pada 4 Mei lalu itu, lima lelaki telah menyamar sebagai anggota polis dan telah menyamun seorang pesara berumur 55 tahun, bersama tiga ahli keluarga di sebuah rumah di Semenyih.

“Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), suspek memakai pelitup dan memakai vest polis telah memecah masuk rumah mangsa dan melarikan beberapa barang kemas, dua buah telefon bimbit dan wang tunai lebih kurang RM500,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Hussein, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi bersama beberpa buah telefon bimbit dan pakaian dipercayai digunakan dalam kejadian samun tersebut.

Katanya, kesemua suspek telah direman sehingga esok bagi membantu siasatan, manakala salah seorang suspek telah diberi jaminan polis pada Ahad lepas.

Tambahnya, siasatan kini masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (merompak secara berkumpulan) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana saspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan modus operandi suspek yang menyamar dan memperdaya mangsa dengan memakai vest polis untuk membuat sebarang pemeriksaan di mana-mana tempat.

Jelasnya, jika terdapat maklumat seperti itu, orang ramai diminta menyalurkan atau laporkan perkara tersebut kepada mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast