JOHOR BAHRU – Hanya kerana menziarahi bapa tanpa mendapat keizinan, seorang lelaki menghentak dahi isterinya dengan telefon bimbit sehingga berdarah.
Mangsa iaitu wanita tempatan yang berusia 32 tahun mendakwa, kejadian tersebut berlaku di rumah mereka pukul 7 petang, pada 23 Mei lalu selepas pulang melawat bapanya.
Suaminya kata wanita berkenaan, seakan-akan hilang kewarasan bertindak demikian hanya kerana tidak puas hati dia melawat bapanya sendiri tanpa kebenaran.
Wanita itu kemudian memuat naik foto-foto memaparkan keadaannya wajahnya yang berdarah dalam Facebook sebelum tular dan mendapat kecaman netizen.
Menceritahkan kejadian pada lima hari lalu itu, dia yang tinggal di kawasan Ulu Tiram di sini berkata, pada mulanya berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua.
“Kemudian suami memukul saya dengan menggunakan telefon bimbit di bahagian kepala hingga menyebabkan dahi saya luka dan berdarah.
“Perselisihan faham itu berlaku kerana suami tidak berpuas hati dengan tindakan saya melawat bapa saya,” katanya ketika dihubungi.
Mangsa kemudian pergi ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram pada 24 Mei lalu.
Dia pergi melihat keadaan bapanya selepas lelaki itu terjatuh dari motosikal dan cedera.
Dakwanya, itu bukan kali pertama suami bertindak ganas terhadapnya kerana sebelum ini pernah menumbuk wajahnya dan menyebabkan lebam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan polis kes berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 322/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
“Keterangan pengadu, suaminya dan saksi diambil. Kes dirujuk ke timbalan pendakwa raya bagi tindakan lanjut,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















