PETALING JAYA – Lebih RM6 juta nilai dadah jenis bunga ganja berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKDM WPKL) bagi tempoh Januari hingga April lalu.
Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @ Mustapha berkata, sebanyak enam rampasan komoditi dadah organik itu dilakukan di Pusat Mel dan Kureir, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Semua bungkusan yang dirampas adalah bagi tujuan eksport ke negara Eropah dengan menggunakan alamat pengirim di beberapa lokasi di Malaysia sebagai transit ke luar negara.
“Kebanyakannya diikrar sebagai buku, pakaian dan alat permainan dan dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM WPKL di sini hari ini.

Mengulas mengenai rampasan terkini, Raizam memaklumkan pihaknya berjaya merampas bahan organik disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 10.55 kilogram (KG) pada 24 April lalu sekitar pukul 2.30 petang.
“Hasil maklumat dari pegawai kastam di Pusat Mel dan Kurier KLIA, pasukan operasi dari bahagian penguatkuasaan telah membuat pemeriksaan rapi ke atas bungkusan yang diimbas dan memaparkan imej menyerupai bahan organik.
“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui sejumlah bungkusan bahan organik disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 10.55 kilogram (kg) membabitkan nilai dianggarkan berjumlah RM993,936.
“Semakan mendapati dadah yang diletakkan dalam kotak tanpa disembunyikan dengan rapi itu dipercayai diimport dari negara jiran dan modus operandi sindiket ini dikesan membuat pengikraran tidak benar dalam borang bil airway,” katanya.
Tambah beliau, modus operandi itu telah dikesan digunakan sejak tahun lalu dan pihaknya masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















