Tangkap layar daripada video tular di media sosial kelmarin memaparkan pertelingkahan anggota polis dengan beberapa penduduk Orang Asli di Kampung Arong, Pekan

KUANTAN – Insiden pertelingkahan antara sekumpulan penduduk Orang Asli Kampung Arong, Pekan, dengan anggota polis yang tular di media sosial kelmarin diselesaikan secara damai.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Adam Zaidi Mahidin berkata, kejadian berpunca daripada kekeliruan maklumat berhubung keluasan sebenar tanah pajakan yang diberikan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang kepada sebuah syarikat bagi tujuan pembangunan.

“Tanah berkenaan merupakan tanah rizab Melayu dan merupakan kawasan asal penempatan Kampung Arong sebelum penduduk dipindahkan ke lokasi baharu. Di kawasan tersebut masih terdapat tanaman penduduk serta tanah perkuburan lama milik komuniti Orang Asli.

“Namun, penduduk tidak dimaklumkan secara jelas. Difahamkan, fasa pertama pembangunan melibatkan 100 ekar tanah, manakala fasa kedua dijangka melibatkan tambahan 400 ekar bagi pembinaan kuarters pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adam Zaidi menjelaskan, konflik timbul apabila syarikat terlibat menggunakan khidmat polis bagi menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah untuk fasa kedua tanpa melalui saluran rasmi seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) atau Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP).

“Tindakan ini mengundang salah faham kerana tidak mengikut prosedur sewajarnya. Sepatutnya, sebarang urusan perlu dilakukan melalui saluran rasmi dan bukannya menggunakan pihak polis sebagai perantara.

“Orang Asli pada asasnya terbuka untuk berbincang secara baik. Namun, tindakan pihak syarikat yang terus membawa masuk polis ke kawasan tanaman telah menyebabkan suasana menjadi tegang,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menasihati individu yang menyebarkan rakaman video pergaduhan berkenaan supaya memadam kandungan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Tuan Mohd Zaidi Mat Zin mengesahkan insiden tersebut telah selesai secara baik selepas penduduk yang terlibat tampil ke Balai Polis Paloh Hinai untuk memohon maaf.

“Tiada siasatan lanjut dibuka kerana ia hanya melibatkan salah faham. Kehadiran anggota kami ke lokasi hanyalah untuk menasihatkan penduduk supaya tidak menghalang kerja-kerja pengukuran tanah bagi pembinaan kilang kertas oleh syarikat Next Green.

“Namun, keadaan menjadi tegang apabila berlaku provokasi dan kata-kata kurang sopan daripada segelintir penduduk,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 5 minit 17 saat memaparkan kekecohan antara penduduk Orang Asli Kampung Arong dan anggota polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast