KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 unit dron tanpa dokumen sah digunakan dalam sektor pertanian dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKDM WPKL) di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.
Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @ Mustapha berkata, ia merupakan kes pertama sejak tahun lalu dilakukan pihaknya yang melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM1.56 juta.
“Bertindak atas maklumat, pasukan operasi dari bahagian penguatkuasaan berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk peralatan dron melalui penahanan sebuah kontena bersaiz 20 kaki pada 23 April sekitar pukul 5.15 petang.
“Hasil pemeriksaan bersama pegawai agensi SIRIM Berhad menemui dagangan eletroknik disyaki drone jenama DJI Agras T50 sebanyak 20 unit dengan nilai RM1,638,000 termasuk cukai telah dirampas,.
“Pengimportan dagangan elektronik seperti dron memerlukan sijil kelulusan daripada SIRIM sebelum ia boleh dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JKDM WPKL hari ini.
Tambah Raizam, modus operandi penyeludupan itu adalah dengan membuat pengikraran palsu sebagai kitchen towel dan pihaknya percaya dron berkenaan dibawa masuk dari dari sebuah negara di Asia untuk pasaran tempatan.
“Kita telah merekodkan keterangan beberapa individu termasuk ejen penghantaran dan agen perkapalan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya berjaya merampas sebanyak 21,351 liter pelbagai jenama minuman keras melibatkan bernilai RM2.8 juta termasuk cukai pada 7 Mei lalu.
Ia susulan penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara dan mendapati pengimportnya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia. – MalaysiaGazette
















