KUANTAN – Taktik licik segelintir pengusaha kilang kerja kayu (sawmill) memproses hasil-hasil kayu hutan secara secara selang seli dengan kayu getah gagal mengaburi mata penguatkuasa.
Hasil risikan dan maklumat orang awam, sebanyak 32 premis di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah diserbu dalam tiga siri Op Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Perhutanan bermula 1 Januari sehingga 20 Mei tahun ini.
Menurut Pengarah Jabatan KDNKA PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, menerusi ketiga-tiga siri operasi itu, keseluruhan hasil rampasan direkodkan berjumlah RM97.3 juta dengan tangkapan seramai 98 individu berusia 18 sehingga 80 tahun.
“Bagi Op Sawmill Siri 1 dan 2, sebanyak 16 serbuan dijalankan di Kelantan dan dua serbuan di Terengganu yang dibuat serentak pada 11 Februari sehingga 19 Mei.
“Hasil serbuan tersebut berjaya merampas hasil kayu, jentera dan pelbagai jenis alat pemotongan bernilai keseluruhan lebih RM66 juta selain tangkapan seramai 53 individu,” katanya dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan Briged Tenggara PGA Kem Bukit Galing, di sini, hari ini.
Azmi berkata, daripada 53 yang ditahan dalam serbuan berkenaan 11 individu merupakan warganegara Myanmar dan dua warganegara Indonesia.
Susulan kejayaan serbuan dalam Siri 1 dan 2 itu, beliau berkata KDNKA bersama Jabatan Perhutanan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan operasi serentak di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Seramai 232 individu telah diperiksa dalam kesemua serbuan tersebut di mana 45 individu terdiri daripada rakyat tempatan (18), warganegara Indonesia (10), Bangladesh (7), Myanmar (2) dan masing-masing seorang warganegara Nepal dan India telah ditahan di atas pelbagai kesalahan.
“Lokasi serbuan dijalankan di tujuh premis kilang di sekitar Kuantan dan Temerloh, Pahang dan masing-masing empat premis di Kelantan dan Terengganu.
“Pelbagai jenis dan saiz kayu hutan sebanyak 47,709 batang bernilai RM11.3 juta turut dirampas selain jentera dan pelbagai jenis alat pemotongan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 11 kesalahan telah dikenalpasti termasuklah di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 55 (b) Akta 155 dan Seksyen 15 Akta 155 yang membabitkan penahanan 27 warga negara asing.
Tambahnya, hasil risikan mendapati modus operandi yang dijalankan kilang sawmill berkenaan adalah dengan memperoleh hasil-hasil kayu hutan secara selang seli dengan kayu getah untuk diproses.
Ia bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa berikutan tiada cukai dikenakan bagi pemprosesan kayu getah.
Justeru, katanya gaji pekerja warga negara asing yang jauh lebih murah dilihat berpotensi menggalakkan berlakunya penyeludupan migran bagi memenuhi keperluan tengaa kerja di kilang tersebut. – MalaysiaGazette
















