KUALA LUMPUR – Tumpuan utama Sidang Kemuncak ASEAN hari ini terarah kepada usaha pengukuhan kerjasama antara rakan strategik melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 serta buat julung kalinya, Sidang Kemuncak Trilateral ASEAN-GCC-China.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kedua-dua sidang berprofil tinggi itu dijangka membincangkan langkah konkrit ke arah memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
“Selain itu, dua lagi sidang penting turut berlangsung hari ini, iaitu Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 dan Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16 yang melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Filipina serta Thailand,” katanya menerusi taklimat harian di Facebook hari ini.
Menurutnya, kedua-dua sidang subrantau itu memberi tumpuan kepada pemerkasaan agenda pembangunan kawasan pertumbuhan dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terlibat.
Inisiatif bersepadu itu dijangka merangsang pembangunan ekonomi yang lebih inklusif serta memperkukuh jaringan strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global. – MalaysiaGazette















