Nahas maut itu mengundang simpati warga net apabila tular video orang awam membantu mangsa pemandu yang sedang nazak mengucap sebelum lelaki itu meninggal dunia di lokasi. - MalaysiaGazette

MELAKA – Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu ‘bas pink’ di negeri ini terus berlaku dan kali ini mengakibatkan seorang pemuda maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan mereka dirempuh bas henti-henti itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang semalam, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut manakala rakan sekerjanya Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera apabila kereta dinaiki yang sedang berhenti di bahu jalan dan memasang lampu kecemasan dirempuh bas berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang semalam, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut manakala rakan sekerjanya Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera apabila kereta dinaiki yang sedang berhenti di bahu jalan dan memasang lampu kecemasan dirempuh bas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara dengan bas yang sedang dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Alor Gajah.

Siasatan awal polis mendapati bas berkenaan yang datang dari arah belakang tiba-tiba merempuh sebuah Perodua Kembara yang sedang berhenti kiri bahu jalan mengakibatkan pemandunya tercampak keluar dan maut ditempat kejadian akibat parah di kepala manakala rakan sekerjanya mengalami luka-luka.

“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi, bas berkenaan yang datang dari arah belakang tiba-tiba merempuh Perodua Kembara terbabit yang sedang berhenti kiri bahu jalan.

“Impak kuat mengakibatkan pemandu Perodua tercampak keluar dan maut ditempat kejadian akibat parah di kepala manakala rakan sekerjanya mengalami luka-luka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lokasi kejadian adalah jalan dua lorong dan ketika itu cuaca cerah selain nahas turut dirakamkan kamera video papan pemuka (dashcam) bas berkenaan yang dipandu lelaki berusia 37 tahun

“Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Keadaan Perodua Kembara yang remuk akibat dirempuh bas.

Sementara itu, melalui bukti nahas dashcam bas berkenaan yang tular menunjukkan ia dipandu di lorong kiri sebelum tiba-tiba merempuh Perodua terbabit yang dilihat sudah lama berhenti sambil memasang lampu signal kecemasan.

Dalam satu video dalam bas menunjukkan, pemandunya yang memakai cermin mata hitam sedang mencapai sebungkus plastik minuman dan meneguknya sebelum berlaku nahas beberapa saat selepas itu.

Pada Mac lalu, media melaporkan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemandu-pemandu BAS.MY atau dikenali ‘bas pink’ yang didakwa bermasalah sehingga kerap mengakibatkan kemalangan.

“Untuk BAS.MY ini kita sedang mengenal pasti pemandu-pemandu yang didakwa bermasalah ini. Kebelakangan ini kerap sangat berlaku kemalangan dan selepas raya ini (April lalu) kita akan berjumpa dengan mereka.

“Tidak boleh hanya memberi amaran keras sahaja kerana ini membabitkan keselamatan dan nyawa bukan sahaja penumpang tetapi pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Pada 25 Mei tahun lalu, media melaporkan seorang remaja, Muhammad Harith Muhamad Zaki, 18, maut digilis selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan bas henti-henti di Jalan Pantai Kundor, dekat sini.

Sebulan kemudian pada 6 Jun pula seorang pemuda, Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, maut selepas motosikal yang ditunggangi merempuh bahagian belakang pengangkutan awam itu di Jalan Satu Krubong, di sini.

Sementara itu, berdasarkan ruang komen di media sosial mendapati, orang ramai terus berkongsi pengalaman buruk mereka terhadap tindakan ‘bas pink’ sehingga hampir mengakibatkan kemalangan.

Semalam, nahas kemalangan maut itu mengundang simpati warga net apabila tular video orang awam membantu mangsa pemandu yang sedang nazak mengucap sebelum lelaki itu meninggal dunia di lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast