KUALA LUMPUR – Malaysia akan membuka inisiatif pembangunan kemahiran utamanya – Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) – kepada semua warga ASEAN dan menawarkan akses percuma kepada lebih 65,000 kursus di seluruh negara secara fizikal dan dalam talian dari 14 hingga 21 Jun 2025.
Pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dibuat bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
NTW merupakan inisiatif utama Malaysia di bawah payung Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 dan dijangka menjadi program latihan terbesar dan paling inklusif di rantau ini setakat ini.
Lebih 65,000 kursus percuma akan ditawarkan di seluruh negara dan secara dalam talian, merangkumi bidang pertumbuhan utama seperti kecerdasan buatan, transformasi digital, teknologi hijau, kepimpinan dan kemahiran insaniah.
Program ini akan menampilkan kerjasama dengan platform dan institusi global terkemuka termasuk Microsoft, Udemy, Awantec, Alibaba Cloud serta penyedia latihan terbaik tempatan.
NTW mendapat sokongan utama dari Human Resource Development Corporation (HRD Corp), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
NTW merupakan platform berpusat dan berintegrasi untuk mencari dan menyertai program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia.
Berucap di Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, Steven menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam pembangunan kemahiran dan menegaskan komitmen Malaysia untuk melabur dalam masa depan bersama ASEAN.
“Buat pertama kalinya, kita akan meluaskan peluang latihan berkualiti tinggi ini melangkaui sempadan negara kepada rakan-rakan kita di seluruh ASEAN. Ini adalah pelaburan Malaysia dalam ASEAN, dan pelaburan untuk pembangunan modal insan. Aspirasi kita adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau paling berkemahiran di dunia melalui kerjasama yang lebih mendalam dan bermakna bersama negara-negara anggota,” katanya.
NTW 2025 dijangka menarik sekurang-kurangnya lima juta peserta dari seluruh rantau ini, dengan nilai latihan dianggarkan melebihi USD600 juta (sekitar RM2.5 bilion).
Capaian berskala besar ini mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa pembangunan kemahiran bukan sekadar keutamaan nasional tetapi satu keperluan serantau.
NTW turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembelajaran dan pembangunan serta menjadi penanda aras baharu dalam kalangan negara ASEAN.
Ia turut melengkapi acara utama AYOS yang lain termasuk Persidangan Pasaran Latihan ASEAN pada bulan Julai, Persidangan TVET ASEAN pada bulan Ogos dan Forum Kemahiran Global yang akan dijalankan serentak dengan Forum Menteri Tenaga Manusia ASEAN untuk Pembangunan Modal Insan pada Oktober.
Malaysia mengalu-alukan penyertaan semua warga ASEAN untuk mengambil peluang luar biasa ini dalam meningkatkan kemahiran, memperluas pengetahuan dan bersama-sama membina tenaga kerja ASEAN yang bersedia menghadapi masa depan.
Steven turut menekankan bahawa kejayaan jangka panjang ASEAN bergantung kepada keupayaannya untuk bergerak melangkaui model ekonomi tradisional dan merangkul industri masa depan yang berteraskan digital, hijau dan berimpak tinggi.
“Sudah tiba masanya ASEAN tidak hanya menjadi hab pembuatan kos rendah semata-mata. Kita mesti menjadi pusat inovasi global – dipacu oleh bakat berkemahiran, kerjasama yang teguh dan matlamat yang dikongsi bersama,” ujarnya.
AYOS turut mendapat sokongan padu daripada kepimpinan serantau. Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn memuji kepimpinan Malaysia dalam memperkasa agenda peningkatan kemahiran di peringkat serantau.
“Saya merakamkan penghargaan tulus kepada Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp atas kepimpinan visi mereka dalam melancarkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 sebagai inisiatif utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Simposium itu menyediakan platform yang amat tepat pada masanya untuk kita memperkukuh komitmen bersama dalam melabur kepada rakyat kita – arkitek sebenar pertumbuhan ASEAN dan asas kepada ketahanan serta kemajuan serantau,” kata beliau.
Menyokong inisiatif ini, Pengarah Pasukan Sokongan Teknikal Kerja yang Layak untuk Asia Timur dan Asia Tenggara serta Pasifik merangkap Pengarah Negara untuk Thailand, Kemboja dan Lao PDR dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Xiaoyan Qian berkata dalam ucapannya;
“Pembangunan kemahiran tidak boleh berlaku secara terasing. Untuk benar-benar memperkasa pekerja dan menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif, pelaburan dalam kemahiran tenaga kerja mesti disepadukan dalam kerangka pembangunan pekerjaan dan ekonomi yang lebih luas.
“Keselarasan dasar seperti ini penting untuk menyediakan tenaga kerja ASEAN bagi menghadapi dunia pekerjaan yang sentiasa berubah,” katanya.
Dianjurkan oleh KESUMA melalui HRD Corp, Simposium AHCDIS yang berlangsung selama dua hari ini membawa tema ‘Pelaburan dalam Modal Insan, Pembiayaan Mampan, Perkongsian Awam-Swasta dan Keterangkuman Sosial’ menyaksikan penyertaan lebih 300 peserta dari seluruh ASEAN.
Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid turut menegaskan kepentingan AHCDIS kepada rantau ini dalam ucapannya;
“Simposium ini merupakan sebuah platform tindakan serantau yang menghimpunkan pembuat dasar, pertubuhan majikan, wakil pekerja, rakan pembangunan dan institusi pendidikan untuk bersama-sama mengenal pasti penyelesaian yang boleh dilaksanakan, berkongsi amalan terbaik dan membina momentum ke arah pelaburan jangka panjang dalam modal insan,” katanya.
Hasil daripada simposium itu akan menjadi platform penting untuk kerjasama dan perkongsian ilmu serta dijangka menyumbang secara signifikan dalam merangka dasar dan pelaburan masa hadapan bagi pembangunan modal insan di rantau ini seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemajuan sosial dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), KESUMA, Dr. Mohd Shaharin Umar; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Ketua Pegawai Strategi HRD Corp merangkap Pengerusi Penganjur AYOS 2025, Dr. Rony Ambrose Gobilee; Penasihat AYOS 2025, Datuk Wira Shahul Dawood serta Penolong Pengarah dan Ketua Bahagian Perburuhan dan Perkhidmatan Awam di Sekretariat ASEAN (ASEC), Ibu Mega Irena.
Ketahui lebih lanjut mengenai AYOS 2025, AHCDIS dan semua platform utama lain di bawah AYOS 2025 melalui portal rasminya di https://aseanyearofskills.org/, dan akses butiran penuh mengenai NTW di https://www.nationaltrainingweek.gov.my/. – MalaysiaGazette





![Photo 4[1]](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/05/Photo-41-681x454.jpg)










