Op Flora: Dua individu direman kerana disyaki kemuka butir matan palsu RM8.1 juta

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemilik syarikat dan seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan direman kerana disyaki mengemukakan butir matan palsu kira-kira RM8.1 juta melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selama sehari sehingga 27 Mei 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti antara tahun 2019 hingga 2021.

“Selain itu, siasatan juga memfokuskan kepada tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah yang telah berlaku pada Januari hingga Oktober 2022 dan juga penerimaan wang rasuah,” katanya.

Sumber berkata, penyiasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan-kesalahan jenayah lain di bawah Kanun Keseksaan serta kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya, menerusi Op Flora yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 11 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan semalam, SPRM telah membekukan 76 akaun bank yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM1.68 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast