BUTTERWORTH – Seorang pembantu restoran didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada anggota polis bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana menunggang motosikal tanpa lesen, pada Khamis lalu.
Tertuduh, Han Tun, 36, warga Myanmar membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu secara rasuah memberikan sejumlah wang bernilai RM95 kepada Konstabel Uzairuddin Azizi Che Omar sebagai balasan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Burma, George Town, jam 6.30 petang pada 22 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun dalam rayuan, Han Tun memohon hukuman ringan diberikan atas alasan menanggung kedua-dua ibu bapanya di Myanmar dan perlu menghantar wang setiap bulan kepada mereka.
Tertuduh juga kesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya selain mahu terus bekerja di negara ini dalam tempoh kontrak yang berbaki setahun.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Zulhazmi kemudian mengingatkan tertuduh bahawa perbuatan rasuah di negara ini adalah kesalahan yang serius.
Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette















