BALIK PULAU – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung gesaan agar pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ di platform TikTok.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, laporan tersebut dirujuk kepada MCMC untuk tindakan lanjut.
“Ya, kita ada terima laporan dibuat beberapa individu di Balai Polis Bayan Lepas pada Ahad lalu dan laporan itu dirujuk kepada MCMC,” katanya ringkas ketika ditemui hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Trend PK Battle bercanggah dengan ajaran Islam – Mufti P.Pinang
NGO buat laporan desak PDRM, MCMC sekat PK Battle di TikTok
MalaysiaGazette semalam melaporkan Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ di platform TikTok yang dilihat sebagai bom jangka sosial negara.
Presidennya, L. Francis mendakwa aktiviti tersebut bukan sahaja membuang masa, malah mendorong kepada perbuatan tidak bermoral seperti buli, peras ugut, eksploitasi seksual, serta pencabulan batas etika secara terbuka di media sosial.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menyifatkan trend PK Battle dalam kalangan pengguna TikTok bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ia menggalakkan pembaziran harta, hiburan melampau serta perlakuan yang merendahkan maruah manusia.
Dr Mohd Sukki menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pembaziran dan menyeru umatnya untuk memanfaatkan harta serta masa secara berhemah.
“Trend PK Battle merupakan satu bentuk hiburan yang tidak mendidik sebaliknya memperlihatkan budaya menunjuk-nunjuk, mengejar populariti dan memperagakan diri demi mendapatkan sumbangan,” katanya. – MalaysiaGazette















