NIBONG TEBAL – Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf setanding dengan program antarabangsa seperti Cambridge, sekali gus menepis persepsi bahawa ia adalah pilihan kelas kedua bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Jelas beliau, penjenamaan semula Tingkatan enam yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) merupakan usaha strategik di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025, bagi memperkasa laluan pasca menengah yang lebih inklusif, berdaya saing dan berkualiti tinggi.
“STPM bukan sahaja setanding dengan program antarabangsa seperti Cambridge malah mendapat pengiktirafan lebih 2,000 universiti di seluruh dunia.
“Inilah iltizam kita untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berimpak tinggi dan mampu bersaing di pentas global,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM anjuran Farm Fresh Berhad peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap di sini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, seiring dengan komitmen tersebut, KPM turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam menjayakan agenda pendidikan negara, termasuk menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kita menyambut baik inisiatif Program Dermasiswa Pelajar STPM oleh Farm Fresh Berhad, yang menyasarkan pelajar Tingkatan 6 daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
“Menerusi program itu, setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan tunai sebanyak RM100 sebulan bermula Mei hingga Disember 2025, melibatkan 500 pelajar daripada 10 negeri di Semenanjung Malaysia sebagai penerima fasa pertama.
“Program ini diteruskan sehingga tahun 2029, dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.8 juta,” katanya.
Tambahnya, semua inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan KPM untuk menjadikan Tingkatan 6 sebagai antara laluan utama pendidikan tinggi negara, seiring keperluan semasa dan masa depan generasi muda. – MalaysiaGazette
















