GEORGE TOWN – Kurang 24 jam insiden seorang wanita warga emas menjadi mangsa ragut ketika menunggang motosikal di Jelutong di sini, polis berjaya memberkas suspek yang terlibat hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek tempatan berusia 29 tahun itu ditahan sekitar jam 4 pagi tadi di Jalan Lim Khoon Huat di sini.
“Terdahulu mangsa berusia 71 tahun tampil membuat laporan polis, jam 4.30 petang semalam iaitu sejurus selepas kejadian berlaku.
“Hasil siasatan mendapati insiden berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri di Jalan Tembaga, Taman Greenview, Jelutong.
“Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa suspek menaiki motosikal menghampirinya lalu menarik rantai emas di lehernya sehingga putus, sebelum melarikan sebahagian rantai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil tangkapan suspek turut membawa kepada rampasan sebuah motosikal dan pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja) dan benzo.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 12 saat memaparkan kejadian ragut berkenaan yang dipercayai dirakam orang awam.
Rakaman itu menunjukkan mangsa cuba melawan suspek dalam keadaan dua motosikal terbalik di atas jalan sebelum suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal. – MalaysiaGazette
















