Friday, September 4, 2026
Home Dunia Tiada kes wabak dikesan dalam kalangan jemaah haji

Tiada kes wabak dikesan dalam kalangan jemaah haji

Gambar hiasan

RIYADH – Tiada kes wabak dikesan dalam kalangan jemaah haji setakat ini, kata Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Al-Jalajel.

Berucap semasa sidang media kerajaan bagi memberi penjelasan berhubung persiapan haji pada Isnin, beliau berkata, kapasiti katil yang diperuntukkan bagi musim haji 2025 telah ditingkatkan sebanyak 60 peratus berbanding tahun lepas.

Katanya, sebuah hospital kecemasan dengan kapasiti 200 katil telah dibina di Mina di samping tiga hospital lapangan dengan kapasiti keseluruhan lebih 1,200 katil juga telah dibuka dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kemeterian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan Kebangsaan.

Selain itu lebih 50,000 perkhidmatan perubatan juga disediakan kepada jemaah haji di semua 14 lokasi, katanya.

Menyentuh mengenai teknologi-teknologi yang digunakan untuk meningkatkan sistem kesihatan semasa haji, Al-Jalajel mengesahkan, semua hospital dilengkapi dengan teknologi terkini bagi perkhidmatan kesihatan.

Beliau turut menekankan penggunaan teknologi yang disediakan Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan Arab Saudi (SDAIA) bagi memantau jumlah jemaah, suhu dan maklumat-maklumat lain.

Tambahnya, aplikasi SEHA pula menyediakan perkhidmatan perubatan dan rundingan kepada jemaah di kediaman masing-masing tanpa perlu pergi ke hospital.

Ini dapat dicapai menerusi hubungan langsung aplikasi itu dengan Hospital Maya SEHA.

“Jemaah haji yang berada dalam keadaan kritikal akan dibekalkan dengan pengesan pintar (smart sensor) untuk memantau keadaan kesihatan mereka.

“Pengesan pintar itu telah dihubungkan ke Hospital Maya SEHA, yang mana ia merupakan hospital terbesar seumpamanya di dunia,” katanya.

Selain itu, Al-Jalajel memaklumkan, sebanyak 11 ambulans udara, 900 ambulans, 71 lokasi bantuan kecemasan yang dibantu oleh lebih 7,500 paramedik disediakan bagi berdepan sebarang kes kecemasan.

Menurut beliau, perancangan yang dibangunkan Suruhanjaya Tinggi Haji itu merangkumi penyediaan air dan payung yang mencukupi serta memberi nasihat kepada jemaah supaya tidak berjalan kaki terlalu jauh serta di tempat ramai orang adalah sesuai untuk persekitaran musim haji kali ini.

Tegasnya, jemaah haji perlu untuk mematuhi kesemua langkah dan nasihat yang telah diberikan termasuk mengikut arahan kumpulan serta memakai pelitup muka.

Beliau turut menggesa jemaah untuk segera mendapatkan bantuan sekiranya sakit atau tidak sihat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast