Tiga tertuduh termasuk seorang wanita (dalam bulatan putih) yang juga ahli geng pecah masuk dobi layan diri didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Tiga daripada ahli geng pecah masuk dobi dan samun di negeri ini yang ketuanya mati berbalas tembakan dengan polis pada 15 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mereka yang terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan curi dalam bangunan pada April dan 9 Mei lalu.

Tertuduh, Teoh Keng Leng, 37; Heng Li Thing, 41; dan Ang Chin Pur, 48 tahun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Heng Li Thing mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapkan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga bersama bersama didakwa dengan sengaja mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta benda iaitu  wang berjumlah RM7,500 dan token sebuah pusat dobi layan diri milik seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kedai dobi 123 di Batu Maung di sini, jam 4.30 pagi pada 9 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencuri wang berjumlah RM30,000 dan token milik dobi layan diri yang sama, jam 4 pagi pada 3 April lalu.

Kedua-dua pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal susulan kesemua mereka ini merupakan ahli sindiket yang terlibat dalam kes pecah masuk dobi di negeri ini selain ketuanya mati berbalas tembakan dengan polis pada awal bulan ini.

Chin Pur (belakang) dan Keng Leng turut memohon hukuman dalam bentuk penjara kerana tidak mampu membayar denda.

“Mereka ini melakukan kesalahan sama di beberapa daerah dan saya difahamkan akan didakwa di mahkamah lain selepas ini bagi kesalahan tersebut. Justeru saya mohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran kepada semua tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kesemua  tertuduh memohon hukuman penjara minimum kerana mereka tidak mampu membayar denda.

“Mereka perlu menyara keluarga dan anak dengan pendapatan harian tidak lebih RM110 selain ini merupakan kesalahan pertama mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap kesemua tertuduh bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan penjara bagi pertuduhan kedua selain menetapkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki mati ditembak polis ketua geng samun – Hamzah

Polis tahan 8 ahli geng susulan tembak mati seorang suspek

Pada 15 Mei lalu, media melaporkan polis berjaya menahan lapan individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah bersama seorang suspek yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Lintang Bukit Jambul di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penahanan kesemua suspek itu hasil risikan serta susulan daripada insiden berbalas tembakan terhadap lelaki tempatan yang juga ketua geng tersebut jam 4.05 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast