MELAKA – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang guru di Jalan Tanjung Minyak di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Muhammad Shafie Sha’ari, 20, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander dipandu guru berusia 50 tahun itu keluar dari simpang.
“Ketika membelok ke Jalan Bukit Pala dipercayai dia tidak menyedari kehadiran mangsa yang datang dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Cheng ke Tanjung Kling.
“Motosikal jenis Honda RS-X ditunggang mangsa kemudian merempuh bahagian depan kiri MPV itu menyebabkan mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pemandu wanita berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Solok Lereh, Tanjung Kling selepas kerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















