KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam masa terdekat.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Asyraf Wajdi meluahkan kekecewaan terhadap tuduhan yang menurutnya bertujuan untuk memburukkan imej institusi Melayu-Bumiputera itu.
“Saya tiada masalah jika mahu mengkritik saya. Contohnya, mungkin tidak wajar bagi seorang Pengerusi bukan eksekutif untuk membuat lawatan mengejut ke institusi-institusi pendidikan Mara seperti MRSM, IKM atau KKTM tanpa memaklumkan pihak pengurusan. Saya boleh terima pandangan begitu.
“Tetapi apabila ia sampai ke tahap melemparkan fitnah dan dakwaan palsu semata-mata untuk mencemarkan nama baik MARA, saya tiada pilihan lain selain memulakan tindakan saman fitnah,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, barisan peguam Mara akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Mas Ermieyati dalam masa terdekat.
“Mula-mula saya malas nak layan, tapi fitnah yang dilemparkan sudah keterlaluan. Jumpa di mahkamah, YB Mas!,” katanya.
Sebelum ini, Mas Ermieyati didakwa menuduh Asyraf membazirkan dana Mara melalui lawatan tidak rasmi ke institusi-institusi bawah agensi itu, termasuk menyentuh isu pemotongan program hafazan serta dakwaan bahawa agensi itu tidak lagi membiayai pelajar TVET.
Asyraf Wajdi menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.
Katanya, beliau kekal komited mempertahankan integriti Mara sebagai agensi amanah untuk pembangunan Bumiputera. -MalaysiaGazette














