BUKIT MERTAJAM – Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM80,000 bagi menjalani pembedahan jantung.
Pembedahan itu amat penting bagi Cahaya Auliyya Innara menyelamatkan nyawanya selepas dia disahkan mengalami masalah kecacatan jantung kongenital iaitu kecacatan septum ventrikel (VSD) dan masalah pada injap aorta (AR).
Ibunya, Siti Izma Mohd Ludin, 41, berkata, Cahaya dilahirkan dengan kelainan fizikal apabila kedua-dua belah kakinya bengkok ke dalam akibat masalah Clubfoot.
Katanya, pembetulkan kaki dengan memasang simen telah dibuat semasa dia berusia empat hari sebelum masalah jantungnya dikesan oleh doktor semasa membuat pemerhatian lanjutan.
“Pada mulanya, doktor sarankan untuk lakukan pemantauan lanjut bagi melihat sama ada lubang jantung itu boleh tertutup dengan sendiri.
“Semasa pemeriksaam pada November tahun lalu, jantungnya didapati sedikit bengkak dan telah diberikan ubat bagi mengawal keadaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan terbaru mendapati lubang di jantungnya gagal tertutup sendiri selain doktor mengesan masalah injap jantung bocor,” katanya.
Menurut Siti Izma, doktor telah menjadualkan pembedahan jantung anak bongsunya itu pada 4 Jun depan sebagai usaha menyelamatkan nyawa Cahaya, namun dia buntu kerana tidak mampu membiayai sendiri kos pembedahan.
Sementara itu, Pengerusi Badan Amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya bersedia membantu mengumpul dana RM80,000 bagi pihak Cahaya.
“Kisah keluarga ini mendapat perhatian kerana Cahaya dibesarkan oleh ibunya secara bersendiri yang bekerja sebagai seorang penghibur berpengalaman di sebuah taman tema.
“Selain menyara ibu bapanya, Siti Izma juga menanggung seorang lagi anak lelaki berusia 17 tahun yang masih bersekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04 539 9212, 016 419 2192, 019 232 2192 atau 018 911 4192. – MalaysiaGazette















