JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata beliau mungkin bersedia untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel jika negara itu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Perancis, President Emmanuel Macron di sini.
Indonesia dengan penduduk teramai beragama Islam dunia tidak mempunyai hubungan dengan Israel dan negara itu secara konsisten menggesa pelaksanaan dua negara sebagai penyelesaian kepada konflik yang telah sekian lama berlanjutan.
“Pada pelbagai kesempatan, saya telah menyatakan bahawa Indonesia melihat penyelesaian dua negara dan kebebasan Palestin merupakan hanya cara untuk mencapai keamanan.
“Saya juga menyatakan bahawa kita perlu mengiktiraf dan menjamin hak Israel sebagai negara berdaulat yang perlu diberi perhatian dan jaminan keselamatan.
“Indonesia telah menyatakan bahawa apabila Israel mengiktiraf Palestin, Indonesia bersedia untuk mengiktiraf Israel dan membuka hubungan diplomatik,” katanya pada sidang media.
Dalam kenyataan bersama, Indonesia dan Perancis menggesa kemajuan ‘pengiktirafan satu sama lain’ antara Palestin dan Israel dilakukan pada persidangan antarabangsa bagi membangkitkan semula idea penyelesaian dua negara pada bulan depan yang mana Paris akan menjadi pengerusi bersama.
“Persidangan ini seharusnya… memulihkan prospek politik penyelesaian keamanan konflik ini, yang sepatutnya membenarkan satu laluan yang tidak berpatah balik terhadap merealisasikan negara Palestin, dan pengiktirafan satu sama lain antara Palestin dan Israel,” menurut mereka.
Sokongan untuk perjuangan Palestin semakin meningkat di Indonesia dan isu ini kerap menimbulkan bantahan.
Pada 2023, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik penganjuran Piala Dunia Bawah-20 yang diberikan kepada Indonesia selepas beberapa ahli politik negara itu meminta Israel disingkirkan daripada kejohanan tersebut selain keengganannya menerima pasukan tersebut. – AFP
















