JOHOR BAHRU – Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan terapung di Sungai Skudai, belakang Sutera Mall, Jalan Sutera Danga, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, seorang warga emas berusia 70 tahun membuat laporan polis memaklumkan penemuan mayat tersebut.
“Siasatan awal mendapati mayat berkenaan merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun. Identiti kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti.
“Kanak-kanak berkenaan memakai gelang kaki pada kaki kiri yang mempunyai logo ‘love’ dengan tulisan IV,” ujarnya.
Bagi peringkat ini katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Pihak polis menyeru mana-mana individu yang menyedari kehilangan anak atau ahli keluarga yang seusia mangsa diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.
Orang ramai katanya, yang mempunyai maklumat terkini berkenaan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Kanan Bomba Shahril Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.28.
“Pihak bomba menerima panggilan tersebut sebelum satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 12 kilometer.
“Setibanya anggota bomba pada pukul 10.38 pagi, terdapat mayat dalam sungai. Anggota bomba kemudiannya membantu pihak polis membawa mangsa menggunakan pengusung,” katanya.
Mangsa ujar beliau, kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pukul 11.44 pagi. – MalaysiaGazette
















