Nekad mencabar diri sendiri dan inisiatif mencari pendapatan tambahan mendorong golongan yang bermasalah pendengaran dan pekak untuk memberanikan diri mereka menjadi pemandu Grab.
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) menetapkan harga siling bagi perkhidmatan e-hailing yang adil dan tetap, bukannya boleh diubah sesuka hati oleh syarikat pengendali.

Pengerusi Jawatankuasa Lajnah Isu Rakyat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Pas, Iqman Iberahim berkata, MOT juga perlu memberi insentif atau subsidi kepada pemandu e-hailing bagi kos penyelenggaraan di bengkel terpilih.

Selain itu, tambah beliau, MOT juga perlu mewujudkan pengecualian atau rebat cukai khas kepada golongan pemandu gig selain mewujudkan ganjaran khas kepada pemandu yang menjaga kualiti perkhidmatan dan imej industri.

“Dalam masa sama, syarikat e-hailing juga perlu dipastikan memberi insentif yang berbaloi kepada pemandu ketika waktu puncak, malam dan hujung minggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Iqman, pihaknya bimbang dan kesal dengan sikap tidak peduli MOT terhadap keluhan pemandu e-hailing yang tertekan disebabkan penurunan harga lantai perkhidmatan itu kepada hanya 25 sen bagi setiap kilometer sejak 16 Januari 2023.

Ujar beliau, keputusan itu dilihat tidak munasabah, tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos sara hidup serta perbelanjaan operasi sebenar para pemandu.

Sedangkan di negara lain, tambahnya, kadar asas e-hailing mencecah lebih RM1 per km, sekali gus menunjukkan Malaysia ketinggalan dalam menjaga kebajikan pekerja gig.

“Pemandu Grab bukan hanya penyedia perkhidmatan, tetapi rakyat marhaen yang bekerja keras demi sesuap nasi.

“Mereka menanggung sepenuhnya kos bahan api, penyelenggaraan, insurans, tol dan sebagainya tanpa sebarang bantuan daripada syarikat mahupun kerajaan.

“Oleh itu, penetapan tambang yang tidak realistik akan terus menekan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan kerajaan bertindak telus dan adil dalam membuat dasar, tanpa sebarang unsur kronisme atau kepentingan korporat yang membelakangkan nasib rakyat.

Tegasnya, keutamaan mesti diberikan kepada mereka yang berada di bawah iaitu golongan yang bangkit sendiri demi menyara keluarga.

“Pemandu Grab juga adalah rakyat. Jangan biarkan mereka terus terhimpit demi menjaga kepentingan syarikat gergasi,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast