Rafizi Ramli

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi hari ini disifatkan sebagai lakonan politik untuk melarikan diri daripada kegagalan sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, ramai yang teruja dan memuji langkah itu kononnya sebagai simbol prinsip dan integriti.

Namun hakikatnya dakwa beliau, itu adalah taktik mencipta persepsi semata-mata.

“Rakyat jangan mudah terpedaya. Inilah modus operandi bekas propaganda utama Pakatan Harapan (PH) yang cuba mencipta naratif kononnya beliau bermaruah, sedangkan sebenarnya ingin mencuci tangan daripada tanggungjawab yang tidak mampu ditunaikan.

“Setelah bertahun menyebar fitnah, menghasut rakyat serta menyerang pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), akhirnya apabila diberi peluang menjadi menteri, Rafizi gagal sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, tidak ada satu pun janji besar yang dicanang Rafizi ketika berkempen berjaya direalisasikan termasuk isu berkaitan kos sara hidup, kenaikan gaji dan reformasi ekonomi.

“Jika benar beliau berprinsip, kenapa tidak meletakkan jawatan lebih awal? Perdana Menteri sendiri tidak memecatnya.

“Ini bukan soal prinsip, sebaliknya beliau melarikan diri daripada beban yang tidak mampu dipikul,” katanya.

Ahmad Solehin turut menyentuh pengakuan Rafizi sendiri yang menyatakan beliau tidak selesa dan tidak serasi memegang jawatan sebagai menteri.

Justeru, beliau mengingatkan UMNO dan BN supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif kononnya tindakan Rafizi itu berasaskan prinsip yang mulia.

“Bukankah itu pengakuan kegagalan yang nyata? Rakyat memberi amanah, tetapi beliau menganggapnya sebagai beban. Di mana tanggungjawab terhadap negara?

“Rafizi bukan wira, sebaliknya simbol kegagalan seorang pemimpin yang hanya pandai mencipta persepsi, tetapi gagal dalam penyampaian dasar.

“Akhirnya, watak Rafizi hanyalah seorang ahli politik yang petah berbicara, tetapi gagal bekerja. Bukan prinsip yang ditinggalkan, tetapi tanggungjawab,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.