KUALA LUMPUR – Mahkamah Tingi di sini menetapkan 3 Jun ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan perbicaraan saman Muhammad Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh perdana menteri.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Tarikh itu juga disahkan oleh peguam mewakili Yusoff Rawther, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika dihubungi media selepas tamat prosiding.
“Hakim telah menetapkan 3 Jun bagi pendengaran permohonan tersebut pada jam 2.30 petang.
“Beliau juga akan mengarahkan pihak-pihak menghujahkan kepada mahkamah peruntukan undang-undang yang manakah berkaitan kekebalan yang ada pada seorang perdana menteri.
Untuk makluman, Anwar telah mengemukakan lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan termasuk isu kekebalan tersebut berkaitan kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya itu atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.
Menurut saman yang difailkan Yusoff Rawther serangan terhadapnya berlaku pada di kediaman Anwar di Segambut pada sekitar 2 Oktober pada 2018.
Plaintif mendakwa mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya walaupun beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.
Berikutan dakwaan itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak.
Manakala pada September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Yusoff Rawther dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu palsu dan direka.
Dakwa Anwar serangan itu tidak mungkin berlaku kerana beliau bersama keluarga dan rakannya kediamannya di Bukit Segambut, di sini pada tarikh dakwaan insiden itu berlaku. – MalaysiaGazette
















