BUTTERWORTH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai dengan merampas sebanyak 6,100 karton rokok bernilai lebih RM2 juta di Kilometer 139.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran susur keluar jambatan Pulau Pinang di sini.

Menurut Komander Briged Utara PGA, SAC Shahrum Hashim, operasi yang dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 2 PGA Kulim, Kedah itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan.

“Serbuan itu dibuat hasil risikan yang dijalankan sejak sebulan lalu bagi mengenal pasti modus operandi sindiket.

“Hasil soal siasat juga mendapati mengaut keuntungan besar tanpa membayar cukai kepada kerajaan dengan membawa rokok itu dari selatan Semenanjung untuk diedarkan ke pasaran utara tanah air.

Rampasan bernilai lebih RM2 juta dan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000, dan maksimum 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Shahrum, PGA Briged Utara akan terus memperhebatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh kawasan tumpuan di Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi membanteras aktiviti jenayah dan penyeludupan.

“Kita menyeru masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan yang melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast