KUALA LUMPUR – Petani, pengimport, pemborong, dan penjaja sayur tempatan bergelut susulan kemasukan peniaga asing yang mengimport sayur-sayuran secara pukal dari luar negara.
Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat mendedahkan terdapat peniaga asing, termasuk dari China, yang mendaftar perniagaan untuk mengimport dan mengedar sayur di Malaysia.
“Sekarang, ada maklumat syarikat China menyewa tanah untuk menanam sayur di Malaysia,” katanya kepada China Press.
Beliau menjelaskan, syarikat-syarikat China pada awalnya mengedar sayur kepada pemborong Malaysia, namun telah meluaskan pelanggan mereka kepada kedai runcit barangan asal China dan penjaja tempatan.
“Ada yang sudah terlibat dalam peruncitan, menjual terus kepada restoran China dan juga peniaga serta pengguna tempatan,” tambahnya.
Menurut Meng Huat, kekurangan kawalan import menyukarkan pengimport, pengedar, dan pemborong Malaysia untuk bersaing, malah menjejaskan bekalan dan harga.
Beliau menyatakan, apabila berlaku lambakan semasa musim panas di China, lebihan hasil akan dihantar ke Malaysia.
“Apabila penawaran meningkat dan harga menurun, keadaan ini turut menjejaskan harga sayur keluaran Malaysia.
“Sayur-sayuran dari China diimport ke Malaysia sepanjang tahun, sekali gus menjejaskan pengeluaran sayur tempatan,” tegasnya.
Meng Huat turut menekankan bahawa kos penanaman sayur di Malaysia adalah lebih tinggi, menjadikannya sukar untuk bersaing dengan sayur import.
“Apabila tidak boleh bersaing dari segi harga dan jualan, petani tempatan akan berdepan kerugian dan membantutkan pertanian negara,” kata beliau.
Beliau berkata, proses pendaftaran perniagaan yang mudah membolehkan warga asing menubuhkan syarikat dengan senang di Malaysia.
“Bukan sahaja boleh mendaftar perniagaan dengan mudah, pemilikan syarikat juga boleh seratus peratus milik warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette
















