PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berada dalam keadaan sihat dan kini sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Baginda dalam keadaan baik, jadi biarlah baginda berehat. Kita akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas ini,” kata Perdana Menteri secara ringkas kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabngsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar turut memohon maaf kepada para peserta dan delegasi persidangan kerana hadir sedikit lewat.
“Saya menghadiri Forum Ekonomi Fortune ASEAN-GCC pagi tadi dan singgah ke IJN untuk menziarahi Sultan Brunei dalam perjalanan ke sini.
“Baginda sedang dalam proses pemulihan dan berehat,” ujar beliau.
Difahamkan, Sultan Hassanal Bolkiah, 78, dimasukkan ke IJN semalam atas nasihat pakar perubatan Malaysia dan dijangka berada di sana untuk beberapa hari lagi.
Pejabat Baginda turut mengesahkan keadaan kesihatan Sultan adalah stabil dan dalam pemantauan rapi oleh pakar perubatan. – MalaysiaGazette
















