KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa terselamat daripada menjadi mangsa kerat 2.0 selepas mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi hari ini.
Oleh itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, janji reformasi bukan lagi tanggungjawabnya sebaliknya beban kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“MB Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) kata mesyuarat khas akan bincang peranan buat Rafizi. Tetapi Rafizi umum letak jawatan menteri.
“Dia terselamat daripada jadi mangsa kerat 2.0. Janji reformasi bukan lagi tanggungjawabnya. Ia beban kepada PMX. Siapa akan kerat siapa?” tanya Puad dalam hantaran di Facebooknya.
Katanya, reputasi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi medan parti itu dikoyakrabakkan oleh Rafizi.
Apatah lagi apabila bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata reformasi parti itu gagal, justeru geng beliau bangkit demi hidupkan reformasi tulen.
Kaanya, Rafizi yang membawa slogan HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa). mendakwa Anwar dan PKR gagal melaksanakan reformasi secara tidak langsung menuduh kerajaan gagal.
“Berlaku perebutan, siapa pendokong reformasi tulen. Apabila Rafizi masuk ke dewan, penyokongnya menjerit “reformasi”. Bila Anwar tutup ucapan penggulungannya, dia juga melaungkan reformasi,” tambahnya.
Mohd Puad berkata, ternyata reformasi hanya hiruk pikuk kerana ia kurang upaya menjayakannya.
Sebaliknya, dakwa beliau, slogan itu hanya retorik.
“Bagaimana reformasi akan berjaya kerana Rafizi sendiri tuduh sistem pemilihan PKR korup?,” soal beliau. – MalaysiaGazette
















