Aktivi pameran sempena sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UMT, baru-baru ini.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkasakan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui penganjuran Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat UMT Tahun 2025 yang berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian ilmiah dan praktikal.

Program anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) UMT itu bertujuan memupuk kesedaran warga kampus terhadap kepentingan KKP serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam persekitaran kerja harian.

Ia turut mendapat sokongan daripada beberapa agensi swasta yang menyumbang dalam bentuk kepakaran dan pameran berkaitan KKP.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Pendaftar UMT, Ts. Wan Abdul Manan Wan Abdullah, yang mewakili Naib Canselor UMT.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan institusi itu telah membangunkan polisi KKP yang menyeluruh sebagai teras utama dalam pentadbiran universiti.

“Kita di UMT sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan dalam setiap penganjuran aktiviti. Pengurusan serta analisa risiko menjadi amalan standard di UMT, bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan terkawal sejajar dengan perkembangan teknologi dan cabaran baharu dalam sektor pendidikan tinggi” katanya.

Salah satu inisiatif penting sempena sambutan hari terbuka KKP kali ini ialah pelancaran rasmi laman sesawang UKKP UMT yang akan menjadi platform utama bagi medium penyampaian maklumat, pelaporan insiden serta sumber rujukan berkaitan dasar dan amalan KKP dalam kampus.

“Langkah ini diharap dapat memperluas capaian maklumat kepada semua warga universiti serta memperkukuh budaya kerja yang lebih sistematik dan responsif terhadap isu-isu keselamatan dan kesihatan”.

Tambah Wan Abdul Manan, penerapan budaya kerja selamat bukan hanya penting kepada staf, tetapi juga menjadi teladan kepada para pelajar serta masyarakat luar.

“UMT mahu mewujudkan satu ekosistem kerja yang sihat dan selamat yang bukan sahaja melindungi kakitangan, malah mencorak sikap serta kesedaran pelajar untuk membawa nilai ini ke luar kampus suatu hari nanti” jelas beliau.

Penganjuran itu juga turut memperkukuhkan peranan UMT sebagai institusi yang prihatin terhadap komuniti melalui pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial universiti (USR), khusus kepada pembantu makmal dari sekolah-sekolah sekitar.

“Mereka diberi pendedahan tentang amalan kerja selamat di makmal bagi meminimumkan risiko kecederaan dan kemalangan ketika mengendalikan bahan kimia serta peralatan sains,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast