KUANTAN – Jabatan Imigresen Negeri Pahang menahan seramai 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi besar-besaran di beberapa kilang sekitar Gambang dan Kawasan Perindustrian Gebeng semalam.
Ops Gempur Sasar Gelombang Ke-2 itu dilancarkan serentak di seluruh negara dengan tumpuan terhadap sektor perkilangan.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Pahang, Nursafariza binti Ihsan, seramai 328 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing telah diperiksa sepanjang operasi yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 5.00 petang itu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 78 orang PATI terdiri daripada 27 warganegara Bangladesh, 20 warga China, 10 warga Pakistan, lapan warga Vietnam, masing-masing empat warga Kemboja, tiga warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Nepal dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas; Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah; dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Operasi diketuai sendiri oleh Nursafariza dan melibatkan kekuatan seramai 55 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Pahang serta Pegawai dari Depot Imigresen Kemayan. Turut serta, lima pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk majikan atau pemilik premis yang didapati menggaji serta melindungi PATI,” katanya.
Nursafariza berkata, pihaknya juga menyeru semua PATI yang layak supaya menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang sedang berlangsung dari 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026, bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela. – MalaysiaGazette















