Friday, September 11, 2026
Home Sukan Kalah mengejut, memang kami patut diboo – Amorim

Kalah mengejut, memang kami patut diboo – Amorim

Riasi jurulatih Manchester United, Ruben Amorim (kanan), kepten pasukan Bruno Fernandes (kiri) dan Casemiro (tengah) ketika selesai perlawanan pada Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 MEI 2025.
KUALA LUMPUR – Manchester United memang patut dicemuh selepas tewas mengejut 0-1 kepada ASEAN All Stars dalam aksi Piala Cabaran Maybank 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Pengendalinya, Ruben Amorim berkata, ini kerana lebih 75,000 penyokong datang pasti kecewa dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya itu walaupun menguasai sebahagian besar permainan dengann barisan bintang dunia yang diramal mampu menang dengan jaringan besar.
“Saya bertanggungjawab dengan apa juga keputusan atau persembahan. Jadi bila penyokong mencemuh, itu sesuatu yang kami perlu terima,” kata Amorim pada sidang media selepas perlawanan berakhir malam tadi.
Sebaik wisel penamat ditiup, sebahagian penyokong mengejek dengan jeritan ‘boo’ pemain Red Devils bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi kelab bertaraf Eropah itu.
Sedangkan gergasi kelab Liga Perdana Inggeris yang hadir ke Kuala Lumpur sebagai sebahagian jelajah Asia mereka dengan menurunkan gabungan pemain utama dan muda termasuk Rasmus Hojlund, Casemiro, Garnacho, Amad, Harry Maguire dan Bruno Fernandes.
Namun United pulang kecewa apabila menamatkan perlawanan dengan kekalahan hasil jaringan tunggal Mg Mg Lwin pada minit ke-71.
Pasukan Manchester United, berjalan memberikan hormat kapada penonton selepas tewas kepada pasukan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 MEI 2025.
Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Portugal itu juga mengakui pasukannya bermain perlahan dan tidak menunjukkan semangat kompetitif yang cukup untuk memenangi perlawanan seperti ini.
“Kami sepatutnya menang perlawanan ini tetapi kami masih belum cukup agresif untuk menang setiap latihan dan setiap perlawanan.
“Yang penting, tiada kecederaan malam ini dan kami mahu semua pemain diberi peluang untuk menghargai penyokong,” katanya.
United selepas ini akan berlepas ke Hong Kong dengan badi musim suram 2024–25 yang menyaksikan mereka menamatkan liga di tangga ke-15 dan tewas di final Liga Europa. – MalaysiaGazette
Pasukan Manchester United selepas sesi perlawanan Bola Sepak di Stadium Nasional, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 MEI 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast