Allahyarham Mohamad Noor Mustaffar

KUANTAN – Berita pemergian Allahyarham Mohamad Noor Mustaffar, 64, ketika menunaikan haji di Mekah baru-baru ini amat mengejutkan ahli keluarganya.

Manakan tidak, pesara tentera itu dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan begitu teruja sebelum berangkat ke tanah suci pada 3 Mei lalu.

Menurut anak keduanya, Nor Erna Izzati, 31, sejurus menerima perkhabaran itu, dia terus menghubungi ibunya, Azizah Mat Yasim, 58 yang bersama-sama allahyarham di Tanah Suci ketika itu.

“Kami memang sangat terkejut. Tak sangka.

“Mak cakap pagi tu arwah hanya demam sikit. Pagi tu mereka baru habis taklimat. Katanya di sakit perut macam nak buang air besar dan terus ke tandas. Ketika di tandas tu dia terjatuh dan kawan sebilik dengar.

“Masa tu kawan sebilik ayah tengok dia jatuh dan mereka tarik dia keluar. Mereka ajar ayah mengucap dan selepas tu ayah meninggal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Gambar kenangan Mohamad Noor Mustaffar bersama isteri, Azizah Mat Yasim sebelum sama-sama berangkat menunaikan haji pada 3 Mei lepas

 

Bercerita lanjut, Erna berkata, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dalam perlakuannya sebelum bertolak untuk mengerjakan ibadah haji.

Namun, dia dimaklumkan saudara yang bapanya pernah menyatakan hasrat dan impiannya untuk meninggal dunia di tanah suci.

“Arwah tak tunjuk pada anak-anak, tapi dia sempat beritahu anak saudara yang dia nak meninggal dunia di Mekah. Katanya, dia sudah bersedia semua kelengkapan dan tidak sabar-sabar untuk mengerjakan haji. Kalau boleh, dia cakap nak meninggal dunia di sana,” katanya lagi.

Ditanya keadaan ibu yang masih meneruskan ibadah haji tanpa suami tercinta ketika ini, Erna memberitahu kini ibunya, Azizah Mat Yasim, 58, sudah reda dengan pemergian suaminya.

Tambahan pula, Erna berkata, ibunya lega kerana dapat berpeluang mengerjakan haji bersama bapanya sebelum dia meninggal dunia.

“Sebelum ni mak macam tak nak pergi sebab nak menjaga cucu yang masih kecil. Tapi ayah beriya-iya ajak pergi sama-sama. Kalau abah pergi seorang dan meninggal seorang, dia mesti terkilan,” tambah Erna lagi.

Difahamkan, Allahyarham sempat mengepos jubah, kurta, tasbih, kurma dan songkok ke tanah air buat cenderahati sebelum dia meninggal dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast