Syahrul Anuar Abdul Wahab (dua dari kiri) menunjukkan antara barang dirampas dalam sebuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak, di sini, semalam, yang dijadikan sebagai pusat panggilan judi dalam talian.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan satu sindiket mempromosikan judi dalam talian yang memberikan gaji lumayan antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada individu tempatan yang bekerja sebagai operator.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya menahan 30 individu termasuk seorang warga China kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pusat panggilan judi dalam talian di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Menurut beliau, serbuan yang dibuat menerusi Op Dadu, jam 11.30 itu turut merampas sebuah dokumen slip pembayaran gaji April 2025, 30 set komputer, 60 telefon bimbit, satu kad akses, dua buah router, sebuah modem.

“Berdasarkan siasatan awal dilakukan, sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan pelanggan dari luar negara terutamanya China.

“Kita masih dalam siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada pasaran sindiket itu hanya di luar negara atau turut menyasarkan pelanggan dalam negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Syahrul berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik premis dan akan memanggil individu berkenaan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Ujarnya, jika pemilik premis itu tidak mahu memberi kerjasama, polis tidak akan teragak-agak untuk menahannya.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti jenayah,” tegas beliau.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilapor berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita tempatan serta seorang warga China.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 27 tahun dan mereka didapati bekerja di pusat panggilan terbabit.

Jelasnya, kesemua suspek dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk proses dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast