Memorandum RUU URA dipulangkan semula kepada Pemuda Pas Paya Besar - Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Paya Besar

KUANTAN – Pemuda Pas Kawasan Paya Besar didakwa tidak telus dalam kenyataannya mengenai pertemuan dengan wakil UMNO Paya Besar berhubung isu penyerahan Memorandum Bantahan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semua Bandar Kerajaan Madani (URA) dua hari lepas.

Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Paya Besar, Muhammad Hattar Ismail dalam kenyataannya berkata, tiada sebarang persetujuan awal dicapai bagi mengadakan sesi perbincangan khas bersama antara Dewan Pemuda Pas Paya Besar dengan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkenaan perkara itu.

Beliau mengakui menerima kunjungan Pemuda Pas Kawasan Paya Besar diketuai Timbalan Ketua Pemudanya, Ayub Ashari di pejabat wakil rakyat itu pada 26 Mei lepas.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kepada mereka memorandum tersebut akan disampaikan kepada Shahar kerana beliau tidak berada di pejabat ketika itu.

“Saya maklumkan kepada mereka saya tidak ada kapasiti dan platform untuk menerimanya (memorandum) dan saya akan rujuk Datuk Shahar sendiri.

“Tiada sebarang perjanjian dan perbincangan serius berkenaan perkara ini dan saya tidak menjanjikan apa-apa pun, tapi saya amat terkejut apabila dimaklumkan terdapat dua hantaran di laman sosial mengenai hal itu yang tidak seperti perkara sebenar.

“Jadi, saya amat terkilan seolah-olah saya dimanipulasikan, sedangkan tugas saya pada hari itu hanya untuk menyampaikan kepada YB. Itu sahaja,” katanya.

Justeru, beliau membuat keputusan untuk memulangkan semula memorandum terbabit sebelum sempat diserahkan kepada Shahar.

“Prinsip saya jelas, saya hanya menerima kedatangan mereka sebagai tetamu sebagai orang Islam dan beradab. Tapi saya terkilan kerana mereka telah memanipulasikan saya,” tambahnya.

Sebelum ini, Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing dalam hantaran di laman Facebooknya memberitahu memorandum itu perlu diserahkan kepada Shahar untuk dibawa ke Sidang Parlimen kelak, namun katanya Ahli Parlimen Paya Besar itu tiada di pejabatnya.

Ayub memaklumkan telah menyampaikan memorandum itu kepada Muhammad Hattar dan mengadakan perbincangan ringkas mengenai kebimbangan mereka terhadap implikasi pelaksanaan RUU URA.

“Hasil pertemuan ini, kami telah mencapai persetujuan awal untuk mengadakan sesi perbincangan khas bersama antara Dewan Pemuda Pas Paya Besar dan UMNO Paya Besar, khususnya dengan Datuk Shahar bagi merangka pendirian bersama terhadap RUU URA ini,” tambah Ayub lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast