Sebuah bas ekspres terbakar di Lebuh raya PLUS arah Kamunting, Perak. Foto JBPM Perak

TAIPING – Seramai 28 penumpang berdepan detik cemas selepas bas ekspres yang mereka naiki terbakar di Kilometer 406 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Kamunting malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.16 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

“Ketika tiba di lokasi kejadian kita mendapati sebuah bas ekspres terbakar hampir 90 peratus selepas dipercayai terseret dengan sebuah motosikal yang terbabas di lokasi sama.

“Seramai 28 penumpang berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan anggota bomba.

Sebuah bas ekspres terbakar di Lebuh raya PLUS arah Kamunting, Perak.
Foto JBPM Perak

“Bagaimanapun, seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu mengalami kecederaan ringan.

“Pasukan operasi melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera bomba.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 10.15 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.33 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada awal pagi Jumaat.

Beliau berkata, mangsa yang cedera ringan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast