KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025-2029, mengambil alih kepimpinan daripada Mexico yang mewakil benua Amerika Latin dan Caribbean pada penggal lalu.
Malaysia mendapat sokongan sebulat suara daripada kesemua 193 negara anggota dan pengumuman mengenainya dibuat semasa sesi Pemilihan Pegawai Biro dalam Persidangan UN-Habitat di Nairobi hari ini.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Malaysia akan memegang jawatan Presiden dan satu kerusi di
Lembaga Eksekutif bersama-sama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mewakili rantau Asia Pasifik.
Tambahnya, komitmen bersama ini melambangkan perpaduan serantau dan dedikasi kami terhadap kelestarian bandar.
“Bersama-sama, kami akan memastikan bahawa Persidangan ini dapat menghubungkan di antara matlamat global dengan realiti tempatan,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mewakili delegasi Malaysia.
Kor Ming berkata, untuk mengukuhkan dasar pelbagai hala dan agenda UN Habitat, Malaysia dan UAE menyeru semua negara anggota agar menggandakan usaha dalam melaksanakan Agenda Bandar Baharu.
Katanya, pemilihan Malaysia bukan sahaja membuktikan
negara telah kembali ke pentas antarabangsa tetapi juga mencerminkan pengaruh yang semakin meningkat di arena global.
“Ini adalah kejayaan bersama rakyat Malaysia seiring dengan usaha kita untuk terus menunjukkan komitmen dan pencapaian dalam pembangunan bandar lestari.
“Kini 53% daripada 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerajui Semakan Tempatan Sukarela atau Voluntary Local Reviews (VLR) untuk meletakkan kita di landasan tepat ke arah liputan penuh di seluruh negara menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Program Perumahan UAE, Mohammed Ibrahim Al Mansoori berkata, kerjasama ini akan berpaksikan kepada koordinasi strategik dan matlamat yang
dikongsi bersama ke arah masa depan yang lebih baik. – MalaysiaGazette
















